Thursday, September 30, 2010

Awang import diketahui Isnin




Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
SHAH ALAM - Cadangan yang paling kuat diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada sesi penerangan dan pengelolaan Liga Malaysia 2011-2014 ialah membenarkan pemain import kembali dalam Liga Malaysia bermula 2012.

Bagaimanapun, keputusan muktamad tentang cadangan tersebut hanya akan diketahui pada Isnin ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang di pengerusikan oleh Presidennya, Sultan Ahmad Shah memperhalusinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, seandainya cadangan tersebut diterima oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, setiap pasukan akan dibenarkan untuk mempunyai hanya tiga pemain import sahaja.

Menurut Hamidin, selain itu, terdapat syarat kepada pasukan yang ingin mendapatkan pemain import antaranya ialah setiap pasukan perlu menyelesaikan masalah berkaitan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta beberapa masalah kewangan yang berkaitan.







''Kita cadangkan untuk membenarkan pemain import pada 2012 dan bukannya pada tahun hadapan ialah untuk memberi peluang kepada semua pasukan menyelesaikan masalah kewangan dan pembayaran KWSP agar tidak membebankan mereka nanti.

''Hanya pasukan yang memenuhi syarat tersebut akan dibenarkan untuk memperoleh pemain import dan 2012 adalah tahun yang sesuai kerana kita tidak mahu tergesa-gesa untuk memperoleh pemain import,'' kata Hamidin pada sidang akhbar selepas membuat rumusan cadangan melalui sesi penerangan dan pengelolaan Liga Malaysia 2011-2014 di sini, semalam.

Kali terakhir khidmat pemain import digunakan dalam Liga Piala Malaysia ialah pada tahun 2008 dan pada ketika itu nama seperti Andres Fuentes Gustavo, Walter Ariel Silva dan Mouise Moudourao cukup dikenali kerana banyak membantu pasukan Johor FC dua tahun lepas.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, syarat lain untuk mendapatkan khidmat pemain import ialah status negara pemain tersebut bermain harus melebihi rangking Malaysia dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

''Kedudukan negara pemain import tersebut harus melebihi ranking negara yang di buat oleh FIFA bermula pada tarikh 1 Ogos 2011.

''Kita akan lihat perkembangan liga kita ini sekiranya khidmat pemain import dapat digunakan kembali pada tahun 2012.

''Melalui cadangan ini kami harap sambutan untuk liga di negara ini akan bertambah dan tentunya FAM mengharapkan yang terbaik untuk sukan bola sepak di negara ini,'' jelasnya.


Sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment