Saturday, October 2, 2010

UTM pertama wujudkan sekretariat IEM



IR. Mohd Khir Mohammad (kanan) bertukar perjanjian dengan Dr. Mohd Azraai Kassim sambil diperhatikan Dr. Zaini Ujang di UTM, Skudai, Johor Bahru, kelmarin.







JOHOR BAHRU 2 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini mewujudkan sekretariat Institusi Jurutera Malaysia (IEM) di dalam kampus.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, penubuhan sekretariat itu membantu meningkatkan bilangan jurutera profesional dalam kalangan tenaga akademik di dalam kampus tersebut pada masa akan datang.

Beliau berkata, sebagai sebuah pusat pengajian tinggi terbesar dalam bidang kejuruteraan di negara ini, UTM memerlukan lebih ramai tenaga akademik yang memiliki kelayakan jurutera profesional bagi memenuhi keperluan akreditasi program kejuruteraan.

"Langkah ini sejajar dengan hasrat UTM untuk menggalakkan lebih ramai kakitangan akademik mempunyai kelayakan profesional bagi melahirkan lebih ramai graduan berkualiti.

"Dengan adanya sekretariat IEM di dalam kampus UTM, mereka juga dapat membantu mahasiswa di sini untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas tentang profesion kejuruteraan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Bangunan Ingenieur IEM Cawangan Selatan dan Program Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan IEM di Kolej Tun Dr. Ismail, UTM Skudai, dekat sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua IEM, Prof. Ir. Datuk Dr. Chuah Hean Teik; Pengerusi IEM Cawangan Selatan, Ir. Mohd. Khir Muhammad dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kasim.

Zaini berkata, hubungan erat antara UTM dan IEM dapat memantapkan mahasiswa dalam bidang kejuruteraan menerusi pelbagai aktiviti seperti seminar dan ceramah.

Beliau berkata, IEM merupakan badan khusus yang akan mewujudkan program pembangunan kerjaya profesional bagi membantu mempersiapkan mahasiswa dan kakitangan akademik untuk menjadi jurutera bertauliah.

"Penglibatan IEM seperti ini secara tidak langsung dapat membantu mewujudkan lebih ramai kakitangan profesional pada masa akan datang, tambahan pula lebih 70 penuntut di UTM mengambil jurusan kejuruteraan. Oleh itu, kita memerlukan kakitangan yang profesional," katanya.


Sumber Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment