Sunday, September 26, 2010

Amukan Tok Gajah benam KL..

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my



Pemain Pahang, Hasmizan Kamarodin (kiri) bersaing dengan pemain KL, Azmi Sarmin pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA



Pemain Pahang, Hasmizan Kamarodin (kiri) bersaing dengan pemain KL, Azmi Sarmin pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Walaupun terpaksa menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, itu tidak menjadi masalah besar buat Pahang mencatatkan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Kuala Lumpur dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, semalam.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan di Stadium Darul Makmur pada 17 September lepas, namun terpaksa ditunda ekoran kerosakan lampu limpah.

Skuad Tok Gajah terpaksa menunggu sehingga minit ke-29 untuk memperoleh gol pertama melalui Mohd. Fazli Baharuddin yang menghukum kelalaian pertahanan Kuala Lumpur.

Selepas berjaya merampas bola daripada kawalan pemain Kuala Lumpur, Fazli melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Norazlan Razali.

Pahang semakin selesa sebelum separuh masa pertama apabila Azammuddin Mohd. Akil menanduk masa gol kedua pada minit ke-45 selepas menerima bola silang dari sebelah kiri, Mohd. Fauzi Roslan.

Khidmat Azammuddin bagaimanapun terpaksa dilupakan apabila perlawanan memasuki minit ke-52 selepas dia mendapat kecederaan dan digantikan dengan R. Karthigesu.

Pahang tidak perlu menunggu lama apabila Karthigesu memberikan gol ketiga Pahang dengan menanduk masuk bola hantaran Fazli pada minit ke-63.

Kuala Lumpur cuba bangkit memberikan saingan melalui dua gol pantas pada minit ke-65 dan 67 oleh Mohd. Badrul Hisham Azmi dan Ahmad Hazwan Bakri.

Bagaimanapun, anak-anak buah Dollah Salleh kembali menjarakkan kedudukan melalui gol keempat pada minit ke-70 berpunca daripada situasi sepakan percuma sebelum ditanduk oleh pertahanan Pahang, Mohd. Saiful Nizam Miswan.

Tok Gajah semakin garang dengan gol kelima apabila percubaan pemain gantian, Famirul Asraf Sayuti tertampan oleh Ahmad Darsila Tajudin sebelum bolos ke gawang Kuala Lumpur pada minit ke-84.

Dengan kemenangan itu, Pahang kini kembali mendahului kedudukan kumpulan hasil dua kemenangan dan memungut enam mata sementara Kuala Lumpur di tangga ketiga memperoleh empat mata.


sumber: UTUSAN MALAYSIA



No comments:

Post a Comment